Wednesday 23 December 2015

ULASAN MENGENAI ISU BERKAITAN DENGAN STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL

Saya berpendapat, standard pengajaran profesional dalam pendidikan matematik memainkan peranan yang penting kepada guru-guru untuk dijadikan panduan utama bagi bidang tugas seorang guru.

Di Malaysia, Standard Guru Malaysia (SGM) dijadikan sebagai panduan oleh para guru, agensi dan institusi latihan perguruan, pensyarah serta guru besar dan pengetua sekolah.

SGM bertujuan menggariskan kompetensi professional yang patut dicapai oleh guru dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi mencapai tahap yang ditetapkan.

Ia juga bertujuan untuk melestarikan guru berkualiti. Bagi pendidikan matematik, hampir semua aspek yang telah diterapkan dalam SGM adalah berlandaskan NCTM.

Standard pengajaran Matematik turut menekankan prinsip peranan pelajar bagi sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru Matematik harus menggalakkan situasi bilik darjah dengan melibatkan peranan pelajar dan juga tindak balas daripada pelajar supaya mereka dapat mengikuti sesi pembelajaran.

NCTM turut menekankan standard alat dan bahan bagi mendapatkan sesi pembelajaran dan pengajaran berkesan. Penggunaan alat-alat bantu mengajar amatlah digalakkan dalam kelas, walaupun hanya banyak dilakukan di peringkat sekolah menengah bagi mencapai objektif untuk meneroka idea-idea matematik.

Dari sudut pedagogi, amalan guru masih sama dengan dasar kurikulum lama yang menekankan kaedah hafalan (Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan 1996). Seharusnya guru – guru perlu memandang serius akan permasalahan ini kerana amalan pengajaran yang kurang berkesan akan membantutkan penerimaan para pelajar terhadap pengajaran guru.

Isu seterusnya adalah proses pengajaran dan pembelajaran di beberapa buah sekolah di mana menyatakan bahawa dalam penyeliaan di bilik darjah didapati bahawa aktiviti pengajaran dan pembelajaran lebih berpusatkan kepada guru di mana para pelajar lebih banyak menyelesaikan latihan secara individu.

Proses pengajaran dan pembelajaran menjadi kurang berkesan dan menyebabkan para pelajar menjadi cepat bosan untuk menerima pengajaran guru.

Kesimpulannya, standard-standard yang telah ditetapkan sama ada oleh Standard Guru Malaysia (SGM) mahupun NCTM sebenarnya menjadi sumber rujukan yang baik kepada para guru dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik. Oleh itu, para guru perlu bijak dalam melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu supaya lebih bersedia untuk mendidik anak-anak bangsa.


No comments:

Post a Comment