Wednesday 23 December 2015

ULASAN MENGENAI ISU KAEDAH DAN PENDEKATAN PENGAJARAN GURU DALAM PEMBELAJARAN MATEMATIK

Saya berpendapat, kaedah atau strategi pengajaran guru dalam pendidikan matematik memainkan peranan yang penting kepada guru-guru dalam membuat perancangan yang teratur untuk mencapai objektif pelajaran dengan berkesan.
Pemilihan strategi haruslah berdasarkan pertimbangan teori pembelajaran, pendekatan, kaedah dan teknik mengajar.
Guru boleh melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan strategi dengan mengambil kira faktor masa agar dapat menyampaikan isi pelajaran dan tercapai objektifnya dengan masa yang ditetapkan.
Antara strategi yang boleh digunakan oleh guru adalah strategi pemusatan guru, pemusatan murid, dan strategi berasaskan sumber dan bahan.
Dalam pembelajaran koperatif, guru memerlukan masa yang agak lama untuk melaksanakan kaedah ini agar pelajar dapat memahami isi pelajaran. Guru memerlukan masa untuk memberi arahan kepada pelajar dan juga masa untuk pelajar memahami arahan yang diberikan.
Pembinaan bahan konkrit mahupun alat bantu mengajar seperti nota, ‘handouts’, aktiviti-aktiviti serta latihan yang ingin diberikan mestilah berdasarkan tahap kefahaman murid.
Kekangan yang dihadapi oleh guru untuk membuat alat bahan bantu mengajar menjadi isu di mana guru tidak mempunyai banyak masa untuk menyediakan bahan bantu mengajar kerana guru dibebani dengan tugas-tugas lain yang memerlukan guru menyiapkan dalam masa terdekat.
Kemudahan bilik komputer yang disediakan di setiap sekolah juga dengan capaian internet memudahkan guru untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran di dalam kelas. Contohnya, dalam pengajaran dan pembelajaran tajuk bentuk-bentuk graf iaitu graf linear, kuadratik, dan sebagainya.
Kaedah ini dapat menarik minat pelajar untuk belajar seterusnya dapat meningkatkan kefahaman pelajar. Namun, jurang yang agak besar antara bandar dan luar bandar kerana tidak semua tempat mendapat akses capaian internet yang baik.
Seterusnya, guru perlulah menggunakan kaedah dan strategi yang bersesuaian dan mengambil kira faktor persekitaran bilik darjah seperti bilangan pelajar, keluasan kelas dan juga motivasi pelajar.
Walaubagaimanapun, tahap motivasi pelajar juga turut mempengaruhi pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran guru di dalam bilik darjah.
Sebagai contoh, pelajar yang berpotensi, guru perlu memilih kaedah pengajaran yang lebih mencabar pemikiran pelajar manakala pelajar yang kurang bermotivasi guru perlu bijak memilih kaedah yang sesuai agar isi pembelajaran dapat difahami dan tercapai hasil pembelajarannya.
Kesimpulannya, kaedah pengajaran yang dibincangkan di dalam tugaan ini akan memberikan manfaat kepada guru matematik supaya dapat melatih pelajar berfikir, meneroka dan menyelesaikan masalah agar pembelajaran dan pengajaran berlaku.

           


No comments:

Post a Comment