Ringkasan
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji peranan penukaran kod
dalam pertuturan guru Matematik dan Sains di sekolah rendah. Ia dijalankan
untuk mengkaji kategori-kategori dalam pertuturan guru yang melibatkan
penukaran kod, fungsi penukaran kod dalam kategori pertuturan guru dan persepsi
guru terhadap penggunaan bahasa pertama semasa mengajar Matematik dan Sains.
Pendekatan kualitatif telah digunakan sebagai pendekatan penyelidikan kerana ia
dianggap paling sesuai dengan soalan, tujuan kajian dan fenomena yang dikaji.
Data telah dikumpul dan dijanakan daripada lima orang guru yang bertugas di tiga
buah Sekolah kerajaan di Kelantan. Kaedah pengumpulan data ialah melalui temu
bual dan pemerhatian.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru mendominasi interaksi
di dalam bilik darjah dan penukaran kod merupakan satu strategi guru untuk
menyampaikan isi kandungan pelajaran kepada pelajar. Analisis data menunjukkan
guru PPSMI paling kerap menukar kod semasa memberi penerangan, terutamanya
semasa menerangkan makna perkataan atau frasa bahasa Inggeris dan semasa
menjelaskan isi kandungan mata pelajaran kepada pelajar. Tahap kesukaran isi
kandungan mata pelajaran juga mempengaruhi punca guru menukar kod semasa
mengajar. Penukaran kod kurang berlaku jika isi kandungan mata pelajaran mudah
dan aktiviti pembelajaran cenderung kepada aktiviti mengulang. Guru-guru juga
kerap bertanyakan soalan untuk mendapatkan terjemahan perkataan atau frasa
bahasa Inggeris. Analisis data temu bual juga menunjukkan bahawa keprihatinan
guru terhadap pemahaman pelajar satu punca guru menukar kod semasa mengajar.
Kefahaman pelajar tentang makna perkataan atau frasa bahasa Inggeris yang
digunakan dan konsep yang diajar merupakan punca utama guru menukar kod semasa
mengajar.
Dapatan kajian ini merumuskan bahawa fungsi utama penukaran
kod dalam pertuturan guru adalah untuk membantu dan memastikan kefahaman
pelajar akan isi kandungan mata pelajaran yang diajar. Hasil kajian ini diharap
dapat memberi pemahaman tentang peranan penukaran kod serta kebaikan dan
kelemahan amalan penukaran kod di dalam bilik darjah kepada guru-guru yang
mengajar dalam konteks bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
Kritikan dan komen
Persoalan timbul tentang bagaimana guru dan pelajar
mengendalikan pengajaran dan pembelajaran matapelajaran tersebut dalam Bahasa
Inggeris, strategi yang digunakan oleh guru Matematik dan Sains untuk mengajar
dalam Bahasa Inggeris dan peranan bahasa pertama dalam pengajaran Matematik dan
Sains di sekolah-sekolah di negara ini.
Penukaran kod dalam pertuturan guru kebiasaan diamalkan oleh
guru-guru yang mengajar di kawasan yang menggunakan dialek tertentu. Tidak
dapat disangkal bahawa adalah perlu penukaran kod dalam pertuturan guru untuk
membantu pelajar lebih faham isi kandungan. Ini tidak bermakna pelaksanaan
PPSMI tidak boleh dijalankan. PPSMI tetap boleh dilaksanakan, cuma guru-guru perlu
melakukan ulangan huraian dengan menggunakan penukaran kod dalam pertuturan
mengikut dialek yang mudah difahami.
Namun, seboleh-bolehnya guru akan menggunakan Bahasa Inggeris untuk
memberikan penerangan sehinggalah ada pelajar yang meminta menghuraikan dalam
dialek mereka.
Artikel ini sesuai dijadikan bacaan rujukan bagi guru-guru
seperti di utara dan pantai timur. Penukaran kod dalam pertuturan guru menjadi
kebiasaan di negeri-negeri ini. Apa yang perlu guru-guru sedari adalah fungsi
penukaran kod pertuturan adalah untuk membuatkan pelajar faham dan ia bukan
untuk kesenangan dan keselesaan guru semata-mata.
No comments:
Post a Comment