Sunday, 6 December 2015

MASALAH PEMBELAJARAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS DI KALANGAN PELAJAR TINGKATAN 2 LUAR BANDAR

Pautan : http://eprints.utm.my/2228/1/3_9.pdf

Artikel ini membincangkan tentang kajian yang dijalankan bagi mengkaji permasalahan pembelajaran matematik dalam bahasa Inggeris di kalangan pelajar tingkatan dua di sekolah luar bandar. Terdapat beberapa faktor yang dibincangkan dalam kajian ini antaranya faktor bahasa pengantar, pengajaran guru dalam bahasa Inggeris, tahap penguasaan bahsa Inggeris pelajar serta persekitaran pengajaran dan pembelajaran.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor bahasa pengantar dan tahap penguasaan murid dalam bahasa Inggeris berada pada tahap yang rendah manakala faktor pengajaran guru serta persekitaran berada pada tahap yang tinggi.

Kesimpulannya, meskipun guru menggunakan strategi pembelajaran yang berkesan serta lengkap dengan infrastruktur dan persekitaran yang baik, ianya belum mencukupi untuk mengelakkan kewujudan permasalahan dalam pembelajaran Matematik dalam bahasa Inggeris.

PERSEPSI GURU SAINS PPSMI TERHADAP MASALAH PELAKSANAAN PENGAJARAN SUBJEK SAINS (PPSMI) DI SEKOLAH RENDAH KAWASAN SKUDAI, JOHOR BAHRU.

Pautan: http://eprints.utm.my/11669/1/Persepsi_Guru_Sains_PPSMI_Terhadap_Masalah_Perlaksanaan_Pengajaran_Subjek_Sains.pdf


Artikel ini berfokuskan kepada kekangan yang dihadapi guru dalam pelaksanaan PPSMI untuk subjek sains dan kesannya pada pencapaian murid.  Semestinya wujud di alam realiti ini guru-guru yang kurang menguasai bahasa Inggeris dan mengaggap pelaksanaan PPSMI hanya memberikan beban. Namun, sebaliknya, pelaksanaan PPSMI selama beberapa tahun ini secara tidak langsung meningkatkan tahap kecekapan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan guru-guru. Mungkin pada mulanya mereka rasa terpaksa dan terbeban, tetapi setelah beberapa tahun mengajar, ia mula sebati dan menjadi kebiasaan. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa PPSMI mampu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Ini adalah sejajar dengan dapatan kajian Kementerian Pelajaran yang mendapati bahawa guru dan murid semakin yakin menggunakan bahasa Inggeris dalam bilik darjah (Utusan Malaysia, 3 April 2005). Timbalan Menteri Pelajaran Dato’ Hon Choon Kim (20 Disember 2005) juga menyokong kenyataan ini semasa dalam mesyuarat dewan negara. Dengan perlaksanaan PPSMI dalam subjek sains, pelajar dapat lebih banyak peluang bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Kadar pengguasaan bahasa yang tinggi ini telah menambahkan keyakinan pelajar untuk terus berkomunikasi dalam bahasa ini. Lama-kelamaan pelajar dapat bertutur bahasa ini dengan fasih.

            Walaupun prestasi pelajar didapati kurang memuaskan dengan adanya pelaksanaan PPSMI, ia tetap dapat membantu pelajar meningkatkan tahap kecekapan mereka berbahasa Inggeris. Apa yang perlu diperbaiki di sini adalah cara guru menyampaiakan ilmu sains itu sendiri. Guru harus yang berbahasa Inggeris dalam menerangkan konsep-konsep sains menggunakan terminology yang betul supaya pelajar mudah faham. Kekeliruan berlaku apabila guru tidak yakin berbahasa Inggeris semasa memberikan penerangan. Akibatnya, mesej penting yang ingin disampaikan tidak dapat pelajar fahami.

            Artikel ini menggunakan bahasa yang tepat dan padat serta mudah difahami. Tetapi ia kurang ada penyataan sokongan pada setiap fakta yang dikemukakan. Artikel ini akan lebih diyakini sekiranya terdapat banyak kenyataan sokongan dari kajian-kajian lalu.


ROLE OF CODESWITCHING IN THE TALK OF PRIMARY SCHOOL MATHEMATICS AND SCIENCE TEACHERS

Pautan : http://psasir.upm.edu.my/5689/1/FPP_2009_5.pdf


Ringkasan

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji peranan penukaran kod dalam pertuturan guru Matematik dan Sains di sekolah rendah. Ia dijalankan untuk mengkaji kategori-kategori dalam pertuturan guru yang melibatkan penukaran kod, fungsi penukaran kod dalam kategori pertuturan guru dan persepsi guru terhadap penggunaan bahasa pertama semasa mengajar Matematik dan Sains. Pendekatan kualitatif telah digunakan sebagai pendekatan penyelidikan kerana ia dianggap paling sesuai dengan soalan, tujuan kajian dan fenomena yang dikaji. Data telah dikumpul dan dijanakan daripada lima orang guru yang bertugas di tiga buah Sekolah kerajaan di Kelantan. Kaedah pengumpulan data ialah melalui temu bual dan pemerhatian.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru mendominasi interaksi di dalam bilik darjah dan penukaran kod merupakan satu strategi guru untuk menyampaikan isi kandungan pelajaran kepada pelajar. Analisis data menunjukkan guru PPSMI paling kerap menukar kod semasa memberi penerangan, terutamanya semasa menerangkan makna perkataan atau frasa bahasa Inggeris dan semasa menjelaskan isi kandungan mata pelajaran kepada pelajar. Tahap kesukaran isi kandungan mata pelajaran juga mempengaruhi punca guru menukar kod semasa mengajar. Penukaran kod kurang berlaku jika isi kandungan mata pelajaran mudah dan aktiviti pembelajaran cenderung kepada aktiviti mengulang. Guru-guru juga kerap bertanyakan soalan untuk mendapatkan terjemahan perkataan atau frasa bahasa Inggeris. Analisis data temu bual juga menunjukkan bahawa keprihatinan guru terhadap pemahaman pelajar satu punca guru menukar kod semasa mengajar. Kefahaman pelajar tentang makna perkataan atau frasa bahasa Inggeris yang digunakan dan konsep yang diajar merupakan punca utama guru menukar kod semasa mengajar.

Dapatan kajian ini merumuskan bahawa fungsi utama penukaran kod dalam pertuturan guru adalah untuk membantu dan memastikan kefahaman pelajar akan isi kandungan mata pelajaran yang diajar. Hasil kajian ini diharap dapat memberi pemahaman tentang peranan penukaran kod serta kebaikan dan kelemahan amalan penukaran kod di dalam bilik darjah kepada guru-guru yang mengajar dalam konteks bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Kritikan dan komen

Persoalan timbul tentang bagaimana guru dan pelajar mengendalikan pengajaran dan pembelajaran matapelajaran tersebut dalam Bahasa Inggeris, strategi yang digunakan oleh guru Matematik dan Sains untuk mengajar dalam Bahasa Inggeris dan peranan bahasa pertama dalam pengajaran Matematik dan Sains di sekolah-sekolah di negara ini.

Penukaran kod dalam pertuturan guru kebiasaan diamalkan oleh guru-guru yang mengajar di kawasan yang menggunakan dialek tertentu. Tidak dapat disangkal bahawa adalah perlu penukaran kod dalam pertuturan guru untuk membantu pelajar lebih faham isi kandungan. Ini tidak bermakna pelaksanaan PPSMI tidak boleh dijalankan. PPSMI tetap boleh dilaksanakan, cuma guru-guru perlu melakukan ulangan huraian dengan menggunakan penukaran kod dalam pertuturan mengikut dialek yang mudah difahami.  Namun, seboleh-bolehnya guru akan menggunakan Bahasa Inggeris untuk memberikan penerangan sehinggalah ada pelajar yang meminta menghuraikan dalam dialek mereka.

Artikel ini sesuai dijadikan bacaan rujukan bagi guru-guru seperti di utara dan pantai timur. Penukaran kod dalam pertuturan guru menjadi kebiasaan di negeri-negeri ini. Apa yang perlu guru-guru sedari adalah fungsi penukaran kod pertuturan adalah untuk membuatkan pelajar faham dan ia bukan untuk kesenangan dan keselesaan guru semata-mata. 

Peluang dan Cabaran Pendidikan Dalam Kalangan Masyarakat Luar Bandar : Satu Kajian Kes Isi Rumah Melayu Miskin di Jajahan Bachok, Kelantan

Pautan: http://eprints.usm.my/10323/1/PELUANG_DAN_CABARAN_PENDIDIKAN_DALAM_KALANGAN_MASYARAKAT_LUAR_BANDAR.pdf

Artikel ini menarik minat saya kerana jarang penyelidikan mengkaji masalah kemiskinan. Kebiasaannya, apa yang dikaji penyelidik hanyalah jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar tanpa menyebut faktor kemiskinan secara khusus. Aspek pendidikan merupakan instrumen yang terpenting dalam mempertingkatkan kualiti hidup di Malaysia. Namun, usaha ke arah hidup berkualiti ini terhalang dengan adanya jurang pendidikan dan kemiskinan antara kawasan bandar dan luar bandar. Saya menyokong penyataan penyelidik yang mengatakan bahawa kemiskinan mempengaruhi pencapaian pelajar. Ini kerana, faktor kemiskinan memberikan kekangan hebat untuk capaian kepada pendidikan berkualiti dan terkini seperti penggunaan ICT dalam pembelajaran yang biasa diamalkan di sekolah banadar. Punca kemiskinan ini menyebabkan mereka tidak mampu untuk menyediakan pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak. 

Kebanyakan penduduk luar bandar terlibat dalam pertanian bercorak sara diri dan berada pada tahap miskin. Mereka kurang aktif dan kurang terlibat dalam program-program pembangunan, mempunyai taraf pengeluaran pertanian yang rendah, mempunyai tahap kemudahan asas yang kurang; aspek pendidikan dan kesihatan yang rendah, kurang menerima faedah-faedah dan sumber-sumber pembangunan yang terdapat di bandar (Maimunah Ismail, 1999:18-19). Selain faktor kemiskinan, faktor jarak juga mendorong berlakunya jurang dalam pendidikan. Jarak yang jauh dari bandar menghalang penduduk menikmati taraf hidup yang sama dengan penduduk Bandar. Ini menyebabkan berlakunya ketaksamaan agihan sumber yang mana kawasan bandar mendapat peruntukan pembangunan yang lebih besar berbanding dengan penduduk luar bandar yang tinggal jauh di pedalaman (Yuji Tamura, 2003).

            Penyelidik menyimpulkan bahawa pendidikan sahaja yang mampu mengubah hidup mereka (kemiskinan) dan merapatkan jurang pendidikan. Dalam rangka Rancangan Jangka Panjang Malaysia Pertama 1971 – 1990 (RRJP1), akses pendidikan telah dikenalpasti sebagai salah satu langkah utama yang berdaya tahan dan berkesan dalam usaha mengurangkan jurang pendidikan dan kemisikinan antara kawasan bandar dan luar bandar (Malaysia, 2001:158)


Kekuatan artikel ini adalah terdapat banyak data-data statistic yang dikemukakan hasil dari kajian-kajian lepas yang membuatkan fakta yang dikemukakan diyakini. Sorotan kajian yang dilakukan menghuraikan persoalan ini dengan baik sekali dan penyelidik melalukan penambahbaikan berdasarkan kajian-kajian lepas.

Peranan kepimpinan guru dalam mempengaruhi iklim bilik darjah


Artikel ini mengenai kepimpinan guru dalam mempengaruhi iklim bilik darjah. Kebanyakkan guru tidak mempunyai persepsi yang tepat mengenai kepimpinan bilik darjah. Berdasarkan artikel ini, guru beranggapan pihak pentadbir bertanggungjawab dalam hal yang berkaitan dengan dengan kepimpinan. Padahal, kepimpinan sebenar adalah tugas guru itu sendiri yang bertindak sebagai pemimpin semasa proses pengajaran.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa suasana sekolah banyak memberi impak ke atas kepimpinan sekolah dan bilik-bilik darjah. Guru perlu bertindak merefleksikan diri melaksanakan pembelajaran secara kolaboratif dan penyelesaian masalah dalam menuju kearah kepimpinan bilik darjah yang berkesan.
               

Pada pendapat saya, kepimpinan bilik darjah yang diamalkan oleh guru bukan sahaja boleh menentukan pencapaian matlamat bilik darjah malah memberi kesan keatas semua individu yang ada dalam bilik darjah tersebut.

Pengetahuan Dalam Kalangan Guru Matematik Sekolah Rendah Berdasarkan Standard Pengajaran Matematik.



Artikel ini berkaitan tentang kajian yang bertujuan untuk mengenal pasti persepsi guru matematik sekolah rendah tentang pengetahuan standard pengajaran matematik dan komponen yang menyumbang kepada Standard Pengajaran Matematik.

Metodologi kajian ini berbentuk kuantitatif yang menggunakan instrumen soal selidik dengan skala likert lima point bagi mengukur tahap persepsi terhadap lima komponen pengetahuan standard pengajaran matematik iaitu pengetahuan atribut ikhtisas, pengetahuan amalan ikhtisas, pengetahuan ikhtisas, pengetahuan proses pengajaran dan pembelajaran ikhtisas dan pengetahuan pentaksiran berdasarkan standard-standard yang diamalkan di dalam dan luar negara.

Dapatan kajian mendapati persepsi guru matematik sangat tinggi tentang lima komponen pengetahuan SPM-SR iaitu pengetahuan atribut ikhtisas (ATI), pengetahuan amalan ikhtisas (AI), pengetahuan ikhtisas (PI), pengetahuan proses pengajaran dan pembelajaran ikhtisas (PPPI) dan pengetahuan pentaksiran (PP).

Komponen pengetahuan amalan ikhtisas (AI) dan pengetahuan proses pengajaran dan pembelajaran ikhtisas (PPPI) merupakan komponen utama yang menyumbang secara langsung terhadap pengetahuan Standard Pengajaran Matematik Sekolah Rendah (SPM-SR).


Kesimpulannya, kajian ini dapat menyumbang ke arah pembinaan data asas tentang standard pengajaran matematik di negara ini. Data asas ini boleh diguna pakai oleh masyarakat pendidik bagi menilai semula pengajaran dan pembelajaran matematik dalam bilik darjah.

Masalah Guru Dalam Melaksanakan Pengajaran Matapelajaran KBSM


Artikel ini berkaitan tentang kajian yang bertujuan untuk mendedahkan masalah guru dalam melaksanakan pengajaran mata pelajaran KBSM. Aspek kajian termasuk memahami huraian sukatan pelajaran, memilih isi kandungan, kaedah pengajaran, menentukan aktiviti pembelajaran, penyediaan bahan bantu mengajar, penggunaan buku teks, merancang rancangan pelajaran, penilaian dan penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran.

Hasil kajian menunjukkan bahawa penyediaan bahan bantu mengajar, menentukan aktiviti pembelajaran pelajar dan merancang kaedah pengajaran merupakan masalah-masalah utama yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan pengajaran mata pelajaran KBSM. Manakala hasil ujian Khi Kuasadua pula menunjukkan tidak terdapat perhubungan yang signifikan antara masalah pengajaran guru dalam melaksanakan mata pelajaran KBSM dengan pengalaman mengajar guru, kelayakan ikhtisas dan kekerapan menghadiri KDP.

Kesimpulannya, hasil dapatan menyokong dapatan kajian Hussien (1991) yang melaporkan bahawa faktor kekerapan seorang guru berkursus tidak ada hubungan kolerasi dengan peningkatan pengetahuan dalam melaksanakan pengajaran. Namun demikian, kajian lanjut yang memungkinkan aspek-aspek yang pengajaran KBSM dilihat secara khusus perlu dijalankan supaya masalah pengajaran guru dapat difahami dengan lebih mendalam.