Sunday, 6 December 2015

Konsep dan tujuan penilaian dalam Pendidikan Matematik

Penilaian merupakan satu proses untuk memperolehi maklumat kuantitatif. Ia adalah satu proses bagi guru untuk menentukan perubahan tingkah laku dan membuat pertimbangan menilai. Proses menilai dapat memberi maklumat tentang pencapaian objektif pelajaran, kaedah mengajar seorang guru dan keberkesanan sesebuah kurikulum. Menurut Terry D. TenBrink (1974),  menyatakan bahawa penilaian adalah suatu proses mendapatkan maklumat yang akan digunakan untuk membuat pertimbangan yang seterusnya digunakan dalam membuat keputusan.

Dengan demikian, penilaian merujuk proses mentafsir atau memberi nilai yang bercorak kualitatif tentang sesuatu kemahiran bahasa berdasarkan jumlah markah pencapaian hasil daripada pengukuran yang telah dilakukan secara kuantitatif. Contohnya, Nazrin yang mendapat markah sebanyak 90% dalam sesuatu kemahiran bahasa mungkin dinilai sebagai mencapai tahap cemerlang dan Fiqah pula yang mendapat jumlah markah sebanyak 10% mungkin dinilai sebagai berada pada tahap yang sangat lemah. Jadi, perkataan cemerlang, baik,sederhana, lemah atau sangat lemah yang digunakan dalam konteks ini adalah sebenarnya istilah penilaian yang diberikan secara kualitatif yang berasaskan pengukuran dan markat yang diperoleh dalam bentuk kuantitatif.

Tujuan penilaian adalah untuk mengetahui sejauh mana konsep-konsep yang disampaikan itu difahami oleh pelajar. Setelah diumumkan gred atau markah yangdiperoleh, tahap pencapaian pelajar dalam satu-satu bidang pelajaran akan diketahui. Selain guru, ibu bapa juga akan tahu aras pencapaian anak-anak mereka dalam mata pelajaran yang berkenaan. Ujian juga digunakan untuk menilai pembelajaran pelajar. Setelah satu-satu unit pelajaran selesai diajar, guru boleh menjalankan satu ujian ringkas untuk menilai sama ada objektif pelajaran tercapai atau tidak. Sekiranya tercapai, maka pembelajaran boleh dikatakan telah berlaku.

Dalam konteks dunia pendidikan, proses penilaian membabitkan banyak perkara kerana ia merangkumi di dalamnya proses ”ujian”, peperiksaan, pengukuran yang bertujuan untuk melihat kemampuan pelajar menguasai apa yang telah dipelajari di dalam kelas. Phopham (1975) menafsirkan penilaian yang sistematik mestilah mengandungi satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan. Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran dan matlamat ke arah usaha pengajaran itu ditentukan.

Penilaian boleh dijalankan secara formatif dan sumatif. Penilaian formatif dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Maklumat yang diperoleh daripada penilaian formatif dapat memberi maklum balas tentang sejauh mana sesuatu hasil pembelajaran telah dikuasai. Maka guru dapat mengetahui tentang kelemahan dan kekuatan serta potensi seseorang murid dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya. Guru juga boleh menilai kemajuan murid dalam pelbagai aspek termasuk aspek-aspek yang tidak dapat dinilai secara berpusat.

Manakala, penilaian sumatif dikaitkan dengan penilaian pada akhir tahun atau pada akhir semester. Penilaian ini memberikan nilai yang membezakan pencapaian seorang murid dengan murid lain dan seringkali digunakan untuk membuat pemilihan. Penilaian secara berpusat iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM biasanya dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Keputusan penilaian secara berpusat dapat memberi maklumat tentang pencapaian murid di seluruh negara.



Oleh yang demikian, guru memainkan peranan penting dalam mengesan kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, merancang dan membina instrumen penilaian, menganalisis maklumat penilaian, melapor dan membuat tindakan susulan. Melalui aktiviti penilaian, guru dapat memastikan perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Keberkesanan Kaedah Penilaian Melaui Internet

Pautan : http://ipgmkdri.edu.my/ibrahim/azmi.pdf


Dalam era dunia yang bergerak pantas dan semakin global, pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan menjadi semakin relevan dan menjadi keutamaan. Internet merupakan salah satu daripada teknologi ICT yang paling pesat berkembang dan menjadi begitu dominan dalam konteks kehidupan masa kini. Cabaran ini membawa kepada implikasi yang besar kepada pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan. Persaingan masyarakat dunia yang lebih hebat dalam abad ke-21 dan perubahan ke arah masyarakat bermaklumat menimbulkan cabaran baru kepada institusi pendidikan masa kini. Untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 dan mewujudkan masyarakat bermaklumat, maka inisiatif untuk mengintegrasikan penggunaan ICT dan multimedia dalam P&P adalah perlu. Teknologi maklumat dan komunikasi telah mengubah cara hidup manusia berkomunikasi, bekerja serta menjalankan perniagaan.

Cabaran ini membawa kepada implikasi yang besar kepada P&P dalam bilik darjah dan juga bidang penyelidikan. Prasarana telekomunikasi dan sistem maklumat berasaskan multimedia membenarkan pelajar berinteraksi secara aktif dengan maklumat secara sinkroni atau asinkroni. Penggunaan internet dapat menyediakan sumber yang begitu luas kepada guru dan murid untuk meneroka dan mencari bahan untuk P&P. Melalui portalportal pendidikan yang disediakan sama ada portal tempatan atau luar, guru dan murid dapat memanafaatkannya sebaik mungkin. Portal pendidikan dapat memberi kefahaman yang lebih kepada murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran. Sebagai contoh dalam proses penilaian di mana sesuatu penilaian itu hanya dijalankan sekali sahaja dalam satu-satu masa serta memerlukan guru untuk menyemak dan menerangkan sesuatu persoalan yang terdapat dalam penilaian itu. Keadaan ini berbeza dengan penilaian yang dijalankan dalam sesuatu portal di mana ianya boleh berbentuk interaktif yang membenarkan murid belajar secara kendiri dan boleh diulang-ulang bagi mendapatkan kefahaman.


Melalui internet juga membolehkan program latihan atau penilaian secara interaktif dapat disalurkan melalui talian dan diakses secara jarak jauh. Pembelajaran dalam talian atau e-pembelajaran ini merupakan satu kaedah yang menyenang dan menyeronokkan. Pembelajaran ini membolehkan pelajar, belajar di mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja. Ini membolehkan pelajar menguruskan sendiri masanya dengan lebih efektif. Pembelajaran secara maya ini juga membolehkan pelajar meneroka maklumat baru menerusi perpustakaan digital atau laman web.

IMPAK PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS KE ATAS PELAJAR SEKOLAH RENDAH JENIS KEBANGSAAN CINA.

Pautan : http://www.ukm.my/terjemah/images/terjemah/makalah/AlamTamadun2010002NEW.pdf

Pada dasarnya, PPSMI (dwibahasa) yang diperkenalkan di SRJKC itu adalah atas pertimbangan politik dan hasil kompromi antara pemimpin UMNO dengan pemimpin parti politik kaum Cina dalam Barisan Nasional. MCA melihatnya sebagai satu pelaksanaan yang ‘win-win’ iaitu pelaksanaan yang akan membawa kebaikan kepada dua pihak: tidak sahaja mengekalkan penggunaan bahasa Cina dalam subjek Sains dan Matematik, tetapi juga membantu pelajar SRJKC menguasai istilah Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sekaligus membantu mereka mengikuti pelajaran PPSMI di peringkat sekolah menengah. Namun, kebanyakan pertubuhan kaum Cina, termasuk Dong Jiao Zong, tetap menentang pelaksanaan PPSMI. Mereka membantah penggunaan bahasa asing (Inggeris) untuk mengajar subjek Sains dan Matematik. Mereka berpandangan bahasa ibunda adalah bahasa pengantar yang paling berkesan untuk kedua-dua subjek itu. Dong Jiao Zong turut membantah pelaksanaan dasar dwibahasa itu kerana ia hanya adalah pelaksanaan sementara waktu.


Selain itu, ibu bapa pelajar di SRJKC bimbang pelaksanaan dasar dwibahasa itu akan membawa impak negatif, khususnya daripada segi perkembangan intelek dan rohani anak mereka. Ini disebabkan pelaksanaannya dikatakan akan membebankan pelajar, menyebabkan mereka merasa bosan, jemu dan seterusnya menyebabkan mereka kehilangan minat dalam kedua-dua subjek itu. Selepas pelaksanaannya selama enam tahun, apakah impak yang telah dibawa PPSMI (dwibahasa) ke atas pelajar di SRJKC? Apakah langkah yang telah diambil pihak sekolah dan Pengurus Sekolah atau Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dalam mengatasi masalah yang timbul? Kesemua itu adalah persoalan yang ingin dicari jawapannya dalam makalah ini. Untuk mendapat jawapan kepada soalan itu, penulis telah merangka soalan kaji selidik untuk mendapat pandangan daripada guru Sains dan Matematik atas isu yang berkenaan.

MASALAH PEMBELAJARAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS DI KALANGAN PELAJAR TINGKATAN 2 LUAR BANDAR

Pautan : http://eprints.utm.my/2228/1/3_9.pdf

Artikel ini membincangkan tentang kajian yang dijalankan bagi mengkaji permasalahan pembelajaran matematik dalam bahasa Inggeris di kalangan pelajar tingkatan dua di sekolah luar bandar. Terdapat beberapa faktor yang dibincangkan dalam kajian ini antaranya faktor bahasa pengantar, pengajaran guru dalam bahasa Inggeris, tahap penguasaan bahsa Inggeris pelajar serta persekitaran pengajaran dan pembelajaran.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor bahasa pengantar dan tahap penguasaan murid dalam bahasa Inggeris berada pada tahap yang rendah manakala faktor pengajaran guru serta persekitaran berada pada tahap yang tinggi.

Kesimpulannya, meskipun guru menggunakan strategi pembelajaran yang berkesan serta lengkap dengan infrastruktur dan persekitaran yang baik, ianya belum mencukupi untuk mengelakkan kewujudan permasalahan dalam pembelajaran Matematik dalam bahasa Inggeris.

PERSEPSI GURU SAINS PPSMI TERHADAP MASALAH PELAKSANAAN PENGAJARAN SUBJEK SAINS (PPSMI) DI SEKOLAH RENDAH KAWASAN SKUDAI, JOHOR BAHRU.

Pautan: http://eprints.utm.my/11669/1/Persepsi_Guru_Sains_PPSMI_Terhadap_Masalah_Perlaksanaan_Pengajaran_Subjek_Sains.pdf


Artikel ini berfokuskan kepada kekangan yang dihadapi guru dalam pelaksanaan PPSMI untuk subjek sains dan kesannya pada pencapaian murid.  Semestinya wujud di alam realiti ini guru-guru yang kurang menguasai bahasa Inggeris dan mengaggap pelaksanaan PPSMI hanya memberikan beban. Namun, sebaliknya, pelaksanaan PPSMI selama beberapa tahun ini secara tidak langsung meningkatkan tahap kecekapan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan guru-guru. Mungkin pada mulanya mereka rasa terpaksa dan terbeban, tetapi setelah beberapa tahun mengajar, ia mula sebati dan menjadi kebiasaan. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa PPSMI mampu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Ini adalah sejajar dengan dapatan kajian Kementerian Pelajaran yang mendapati bahawa guru dan murid semakin yakin menggunakan bahasa Inggeris dalam bilik darjah (Utusan Malaysia, 3 April 2005). Timbalan Menteri Pelajaran Dato’ Hon Choon Kim (20 Disember 2005) juga menyokong kenyataan ini semasa dalam mesyuarat dewan negara. Dengan perlaksanaan PPSMI dalam subjek sains, pelajar dapat lebih banyak peluang bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Kadar pengguasaan bahasa yang tinggi ini telah menambahkan keyakinan pelajar untuk terus berkomunikasi dalam bahasa ini. Lama-kelamaan pelajar dapat bertutur bahasa ini dengan fasih.

            Walaupun prestasi pelajar didapati kurang memuaskan dengan adanya pelaksanaan PPSMI, ia tetap dapat membantu pelajar meningkatkan tahap kecekapan mereka berbahasa Inggeris. Apa yang perlu diperbaiki di sini adalah cara guru menyampaiakan ilmu sains itu sendiri. Guru harus yang berbahasa Inggeris dalam menerangkan konsep-konsep sains menggunakan terminology yang betul supaya pelajar mudah faham. Kekeliruan berlaku apabila guru tidak yakin berbahasa Inggeris semasa memberikan penerangan. Akibatnya, mesej penting yang ingin disampaikan tidak dapat pelajar fahami.

            Artikel ini menggunakan bahasa yang tepat dan padat serta mudah difahami. Tetapi ia kurang ada penyataan sokongan pada setiap fakta yang dikemukakan. Artikel ini akan lebih diyakini sekiranya terdapat banyak kenyataan sokongan dari kajian-kajian lalu.


ROLE OF CODESWITCHING IN THE TALK OF PRIMARY SCHOOL MATHEMATICS AND SCIENCE TEACHERS

Pautan : http://psasir.upm.edu.my/5689/1/FPP_2009_5.pdf


Ringkasan

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji peranan penukaran kod dalam pertuturan guru Matematik dan Sains di sekolah rendah. Ia dijalankan untuk mengkaji kategori-kategori dalam pertuturan guru yang melibatkan penukaran kod, fungsi penukaran kod dalam kategori pertuturan guru dan persepsi guru terhadap penggunaan bahasa pertama semasa mengajar Matematik dan Sains. Pendekatan kualitatif telah digunakan sebagai pendekatan penyelidikan kerana ia dianggap paling sesuai dengan soalan, tujuan kajian dan fenomena yang dikaji. Data telah dikumpul dan dijanakan daripada lima orang guru yang bertugas di tiga buah Sekolah kerajaan di Kelantan. Kaedah pengumpulan data ialah melalui temu bual dan pemerhatian.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru mendominasi interaksi di dalam bilik darjah dan penukaran kod merupakan satu strategi guru untuk menyampaikan isi kandungan pelajaran kepada pelajar. Analisis data menunjukkan guru PPSMI paling kerap menukar kod semasa memberi penerangan, terutamanya semasa menerangkan makna perkataan atau frasa bahasa Inggeris dan semasa menjelaskan isi kandungan mata pelajaran kepada pelajar. Tahap kesukaran isi kandungan mata pelajaran juga mempengaruhi punca guru menukar kod semasa mengajar. Penukaran kod kurang berlaku jika isi kandungan mata pelajaran mudah dan aktiviti pembelajaran cenderung kepada aktiviti mengulang. Guru-guru juga kerap bertanyakan soalan untuk mendapatkan terjemahan perkataan atau frasa bahasa Inggeris. Analisis data temu bual juga menunjukkan bahawa keprihatinan guru terhadap pemahaman pelajar satu punca guru menukar kod semasa mengajar. Kefahaman pelajar tentang makna perkataan atau frasa bahasa Inggeris yang digunakan dan konsep yang diajar merupakan punca utama guru menukar kod semasa mengajar.

Dapatan kajian ini merumuskan bahawa fungsi utama penukaran kod dalam pertuturan guru adalah untuk membantu dan memastikan kefahaman pelajar akan isi kandungan mata pelajaran yang diajar. Hasil kajian ini diharap dapat memberi pemahaman tentang peranan penukaran kod serta kebaikan dan kelemahan amalan penukaran kod di dalam bilik darjah kepada guru-guru yang mengajar dalam konteks bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Kritikan dan komen

Persoalan timbul tentang bagaimana guru dan pelajar mengendalikan pengajaran dan pembelajaran matapelajaran tersebut dalam Bahasa Inggeris, strategi yang digunakan oleh guru Matematik dan Sains untuk mengajar dalam Bahasa Inggeris dan peranan bahasa pertama dalam pengajaran Matematik dan Sains di sekolah-sekolah di negara ini.

Penukaran kod dalam pertuturan guru kebiasaan diamalkan oleh guru-guru yang mengajar di kawasan yang menggunakan dialek tertentu. Tidak dapat disangkal bahawa adalah perlu penukaran kod dalam pertuturan guru untuk membantu pelajar lebih faham isi kandungan. Ini tidak bermakna pelaksanaan PPSMI tidak boleh dijalankan. PPSMI tetap boleh dilaksanakan, cuma guru-guru perlu melakukan ulangan huraian dengan menggunakan penukaran kod dalam pertuturan mengikut dialek yang mudah difahami.  Namun, seboleh-bolehnya guru akan menggunakan Bahasa Inggeris untuk memberikan penerangan sehinggalah ada pelajar yang meminta menghuraikan dalam dialek mereka.

Artikel ini sesuai dijadikan bacaan rujukan bagi guru-guru seperti di utara dan pantai timur. Penukaran kod dalam pertuturan guru menjadi kebiasaan di negeri-negeri ini. Apa yang perlu guru-guru sedari adalah fungsi penukaran kod pertuturan adalah untuk membuatkan pelajar faham dan ia bukan untuk kesenangan dan keselesaan guru semata-mata. 

Peluang dan Cabaran Pendidikan Dalam Kalangan Masyarakat Luar Bandar : Satu Kajian Kes Isi Rumah Melayu Miskin di Jajahan Bachok, Kelantan

Pautan: http://eprints.usm.my/10323/1/PELUANG_DAN_CABARAN_PENDIDIKAN_DALAM_KALANGAN_MASYARAKAT_LUAR_BANDAR.pdf

Artikel ini menarik minat saya kerana jarang penyelidikan mengkaji masalah kemiskinan. Kebiasaannya, apa yang dikaji penyelidik hanyalah jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar tanpa menyebut faktor kemiskinan secara khusus. Aspek pendidikan merupakan instrumen yang terpenting dalam mempertingkatkan kualiti hidup di Malaysia. Namun, usaha ke arah hidup berkualiti ini terhalang dengan adanya jurang pendidikan dan kemiskinan antara kawasan bandar dan luar bandar. Saya menyokong penyataan penyelidik yang mengatakan bahawa kemiskinan mempengaruhi pencapaian pelajar. Ini kerana, faktor kemiskinan memberikan kekangan hebat untuk capaian kepada pendidikan berkualiti dan terkini seperti penggunaan ICT dalam pembelajaran yang biasa diamalkan di sekolah banadar. Punca kemiskinan ini menyebabkan mereka tidak mampu untuk menyediakan pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak. 

Kebanyakan penduduk luar bandar terlibat dalam pertanian bercorak sara diri dan berada pada tahap miskin. Mereka kurang aktif dan kurang terlibat dalam program-program pembangunan, mempunyai taraf pengeluaran pertanian yang rendah, mempunyai tahap kemudahan asas yang kurang; aspek pendidikan dan kesihatan yang rendah, kurang menerima faedah-faedah dan sumber-sumber pembangunan yang terdapat di bandar (Maimunah Ismail, 1999:18-19). Selain faktor kemiskinan, faktor jarak juga mendorong berlakunya jurang dalam pendidikan. Jarak yang jauh dari bandar menghalang penduduk menikmati taraf hidup yang sama dengan penduduk Bandar. Ini menyebabkan berlakunya ketaksamaan agihan sumber yang mana kawasan bandar mendapat peruntukan pembangunan yang lebih besar berbanding dengan penduduk luar bandar yang tinggal jauh di pedalaman (Yuji Tamura, 2003).

            Penyelidik menyimpulkan bahawa pendidikan sahaja yang mampu mengubah hidup mereka (kemiskinan) dan merapatkan jurang pendidikan. Dalam rangka Rancangan Jangka Panjang Malaysia Pertama 1971 – 1990 (RRJP1), akses pendidikan telah dikenalpasti sebagai salah satu langkah utama yang berdaya tahan dan berkesan dalam usaha mengurangkan jurang pendidikan dan kemisikinan antara kawasan bandar dan luar bandar (Malaysia, 2001:158)


Kekuatan artikel ini adalah terdapat banyak data-data statistic yang dikemukakan hasil dari kajian-kajian lepas yang membuatkan fakta yang dikemukakan diyakini. Sorotan kajian yang dilakukan menghuraikan persoalan ini dengan baik sekali dan penyelidik melalukan penambahbaikan berdasarkan kajian-kajian lepas.