Kurikulum pendidikan yang dibangunkan perlulah selaras
dengan aspirasi wawasan Negara, supaya generasi yang dididik dapat memenuhi
tuntutan negara pada masa depan. Kegagalan kurikulum pendidikan untuk
menselarikan objektifnya dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan menyebabkan
generasi yang dididik memberi masalah kepada negara. ”Pendidikan di Malaysia
adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis
dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang
berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara " (Falsafah Pendidikan
Kebangsaan). Matlamat pendidikan Negara bolehlah dinyatakan secara ringkas
sebagai usaha untuk melahirkan warganegara yang mempunyai sahsiah yang baik,
seimbang dan sepadu dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan yang percaya
dan patuh kepada Tuhan,berilmu pengetahuan, berfikiran kreatif dan rasional,
berakhlak mulia, berketrampilan, berkeupayaan memberi sumbangan ke arah
menambahkan kemakmuran masyarakat dan negara,setia kepada negara dan
bertanggungjawab untuk menjaga hubungan baik dan mesra di antara insan dan
memupuk perpaduan masyarakat Malaysia. Menurut Power (1982) kerelevenan ilmu
itu ialah ilmu pengetahuan yang bermakna yang boleh diamalkan dan boleh memberi
signifikannya kepada kehidupan. Oleh itu, kepada mereka yang terlibat dalam
membangunkan sesuatu kurikulum ataupun modul untuk pelajar, kewajaran melihat
kerelevenan ilmu itu perlu dibuat supaya hasil daripada kurikulum ataupun modul
itu mampu untuk membolehkan seseorang pelajar itu menghadapi cabaran sebenar
dalam masyarakatnya. Selain itu juga, kerelevenan sesuatu objektif pendidikan
dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan diperlukan kerana ia berguna dalam
menentukan perancangan dan perkembangan pendidikan. Menurut Ishak (2005)
berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita boleh mencadangkan matlamat
pendidikan, merancang objektif dan aktiviti sesebuah institusi pendidikan,
mencadangkan teori-teori pembelajaran yang akan digunakan serta membuat
strategi bagi proses menggubal sesebuah kurikulum agar releven dengan kehendak
semasa.
No comments:
Post a Comment