Sunday 6 December 2015

Peluang dan Cabaran Pendidikan Dalam Kalangan Masyarakat Luar Bandar : Satu Kajian Kes Isi Rumah Melayu Miskin di Jajahan Bachok, Kelantan

Pautan: http://eprints.usm.my/10323/1/PELUANG_DAN_CABARAN_PENDIDIKAN_DALAM_KALANGAN_MASYARAKAT_LUAR_BANDAR.pdf

Artikel ini menarik minat saya kerana jarang penyelidikan mengkaji masalah kemiskinan. Kebiasaannya, apa yang dikaji penyelidik hanyalah jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar tanpa menyebut faktor kemiskinan secara khusus. Aspek pendidikan merupakan instrumen yang terpenting dalam mempertingkatkan kualiti hidup di Malaysia. Namun, usaha ke arah hidup berkualiti ini terhalang dengan adanya jurang pendidikan dan kemiskinan antara kawasan bandar dan luar bandar. Saya menyokong penyataan penyelidik yang mengatakan bahawa kemiskinan mempengaruhi pencapaian pelajar. Ini kerana, faktor kemiskinan memberikan kekangan hebat untuk capaian kepada pendidikan berkualiti dan terkini seperti penggunaan ICT dalam pembelajaran yang biasa diamalkan di sekolah banadar. Punca kemiskinan ini menyebabkan mereka tidak mampu untuk menyediakan pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak. 

Kebanyakan penduduk luar bandar terlibat dalam pertanian bercorak sara diri dan berada pada tahap miskin. Mereka kurang aktif dan kurang terlibat dalam program-program pembangunan, mempunyai taraf pengeluaran pertanian yang rendah, mempunyai tahap kemudahan asas yang kurang; aspek pendidikan dan kesihatan yang rendah, kurang menerima faedah-faedah dan sumber-sumber pembangunan yang terdapat di bandar (Maimunah Ismail, 1999:18-19). Selain faktor kemiskinan, faktor jarak juga mendorong berlakunya jurang dalam pendidikan. Jarak yang jauh dari bandar menghalang penduduk menikmati taraf hidup yang sama dengan penduduk Bandar. Ini menyebabkan berlakunya ketaksamaan agihan sumber yang mana kawasan bandar mendapat peruntukan pembangunan yang lebih besar berbanding dengan penduduk luar bandar yang tinggal jauh di pedalaman (Yuji Tamura, 2003).

            Penyelidik menyimpulkan bahawa pendidikan sahaja yang mampu mengubah hidup mereka (kemiskinan) dan merapatkan jurang pendidikan. Dalam rangka Rancangan Jangka Panjang Malaysia Pertama 1971 – 1990 (RRJP1), akses pendidikan telah dikenalpasti sebagai salah satu langkah utama yang berdaya tahan dan berkesan dalam usaha mengurangkan jurang pendidikan dan kemisikinan antara kawasan bandar dan luar bandar (Malaysia, 2001:158)


Kekuatan artikel ini adalah terdapat banyak data-data statistic yang dikemukakan hasil dari kajian-kajian lepas yang membuatkan fakta yang dikemukakan diyakini. Sorotan kajian yang dilakukan menghuraikan persoalan ini dengan baik sekali dan penyelidik melalukan penambahbaikan berdasarkan kajian-kajian lepas.

No comments:

Post a Comment