Wednesday 23 December 2015

ULASAN MENGENAI ISU BERKAITAN DENGAN KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA

Saya berpendapat, terdapat pelbagai isu yang timbul berkaitan dengan kesamarataan akses dalam pendidikan yang membawa kepada halangan atau cabaran dalam pendidikan matematik di sekolah mahupun institusi-institusi pengajian di Malaysia.

Hubungan antara akses dan ekuiti ini berkait antara satu sama lain dan amat penting dalam menaikkan tahap pendidikan di Malaysia.

Secara amnya, akses dan ekuiti ini boleh menghapuskan jurang dan membuka peluang kepada rakyat terutama pelajar yang berbeza dari segi keperluan dan kebolehan bagi mendapatkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman melalui pendidikan secara sama rata.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) matematik, dua elemen penting yang terlibat adalah guru dan juga pelajar.

Antara isu yang wujud dalam akses ICT dan penyediaan kemudahan infrastruktur adalah masalah dalam pembekalan komputer yang tidak seimbang antara sekolah bandar dan luar bandar, perisian komputer untuk P&P yang sesuai sukar diperoleh dan bilangan guru terlatih dalam ICT yang belum mencukupi.

Seterusnya isu hangat yang diperbincangkan adalah KPM menghadapai masalah untuk menempatkan guru perempuan di sekolah luar bandar khususnya di pedalaman dan pulau.

Dari aspek latar belakang keluarga, pelajar yang mempunyai ibu bapa yang tidak berpelajaran selalunya akan kurang kebolehcapaian mereka terhadap matematik. Ini kerana ibu bapa mereka tidak dapat membantu mengajar mereka dirumah.

Salah satu masalah pembelajaran pelajar matematik ialah mempunyai masalah Diskalkulia. Pemerhatian daripada pakar kepada pelajar OKU sangat kurang, ini kerana pakar perlu memahami masalah dan sikap pelajar OKU itu sendiri jika mahu memberi tumpuan kepada proses P&P mereka.

Walaupun secara realitinya pelajar-pelajar OKU ini lebih memerlukan pakar-pakar untuk memastikan mereka tidak terus ketinggalan dalam menguasai mata pelajaran matematik. 

Bukan itu sahaja, sekolah bertanggungjawab untuk memastikan setiap murid yang mempunyai pelbagai latar belakang dan sosioekonomi mendapat hak dan ekuiti yang sama terhadap kemudahan dalam menyokong pembelajaran dan pembangunan sahsiah mereka.

Kesimpulannya, prinsip pendidikan perlulah dijadikan asas dalam memastikan akses dan enrolmen setiap lapisan murid dari peringkat prasekolah ke peringkat sekolah menengah agar negara kita setanding dengan negara maju yang lain di samping meningkatkan peratusan murid melanjutkan pelajaran pada peringkat universiti, kolej, politeknik, vokasional dan program latihan kemahiran yang berstruktur.



No comments:

Post a Comment