Thursday 24 December 2015

Pembelajaran dan pengajaran menggunakan Perisian Geogebra


Perkembangan kurikulum yang semakin kompleks pada masa ini telah memerlukan kemahiran pemikiran tinggi yang dapat diaplikasikan dengan perkembangan teknologi maklumat. Penggunaan perisian di dalam pembelajaran dan pengajaran merupakan revolusi daripada cara penyampaian pengajaran konvensional kepada model baru pengajaran dan pembelajaran berasaskan pelajar. Menurut Vijaya (1996) perisian atau multimedia sebagai gabungan teknologi bunyi, audio, grafik berbentuk statik, animasi dan tayangan video. Namun begitu, penggunaan teknologi tersebut bukan bererti untuk menggantikan terus peranan pendidik ke tahap fasilitator.

Lanjutan daripada perkembangan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan, ia telah mencipta satu ‘jambatan’ dalam bidang matematik yang lebih berkualiti dengan menggunakan perisian sebagai pengajaran matematik. Teknologi matematik yang digunakan oleh pendidik sebagai bahan bantu mengajar telah menjadikan pembelajaran yang disampaikan kepada pelajar dapat memenuhi objektif pembelajaran yang sedia ada agar pembelajaran yang disampaikan lebih jelas dan bermakna. Menurut Abdul Razak & Nor Asmah (2011), matematik ialah suatu subjek ilmu yang dapat mendidik pelajar untuk mengembangkan pemikiran analisis, kritis, sistematik, kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran menggunakan ilmu pengetahuan matematik dalam kehidupan seharian. Manakala Sharifah (2008) pula menyatakan bahawa dengan adanya teknologi maklumat (ICT) telah memberikan satu kelebihan kepada pelajar untuk mendalami ilmu pengetahuan dan kemahiran kerana mereka dapat membuat pencarian ilmu tersebut dari pelbagai sumber.

Menyedari kepentingan matematik untuk perkembangan ilmu pengetahuan maka satu perisian telah dicipta untuk meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran menggunakan ilmu iaitu GeogebraGeogebra berasaskan laman sesawang dapat digunakan untuk mempermudahkan pelajar memahami matematik kerana dalam perisian ini pelajar dapat mencari maklumat, memperluas pengetahuan dan dapat meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah. Dengan adanya gambar atau pergerakan animasi yang dimiliki oleh Geogebra, pelajar dapat memahami, meneroka, menilai dan menganalisis apa yang telah dipelajari.

Antara kelebihan yang Geogebra miliki ialah ianya bersifat GNU (GNU's Not Unix) di mana perisian ini bebas untuk dimuat turun, diaplikasikan serta dikembangkan oleh para penggunanya. Geogebra berjalan dalam sistem pengoperasian yang cukup luas dan merangkumi Windows, Linux dan Macintosh dan menggunakan Java sebagai mesin virtual yang sudah dipasang secara automatik pada perisian tersebut. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Anthone (2009) menyatakan bahawa perisian Geogebra sangat efisyen digunakan sebagai media dalam pembelajaran matematik, sementara menurut Hassan Hutkemri (2013) pula, pembelajaran secara interaktif dengan Geogebra dapat membantu pemahaman dan menyokong responsif diri (self-responsive) dalam penilaian urutan objek pembelajaran. Direka secara khusus sebagai alat untuk pembelajaran dan pengajaran di semua peringkat pendidikan, 

Geogebra dapat membantu para pensyarah dan pelajar untuk melakukan eksperimen, orientasi masalah, dan orientasi penyelidikan bidang geometri. Geogebra memudahkan ciptaan pembinaan matematik dan model-model oleh para pelajar yang mana penerokaan interaktif dapat dilakukan dengan cara dragged object dan changing parameters selain dapat dikendalikan dalam Bahasa Melayu. Sementara itu, bagi para pensyarah pula dapat mencipta laman-laman sesawang interaktif untuk tujuan pengajaran mereka.


No comments:

Post a Comment