Thursday 24 December 2015

Miskonsepsi dalam pendidikan Matematik




Miskonsepsi adalah satu daripada masalah yang sering dihadapi oleh murid dalam pembelajaran matematik dan sering menjadi penghalang kepada mereka untuk memahami konsep-konsep matematik yang berkaitan dengan konsep yang mereka salah ertikan. Pada pendapat saya, terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada miskonsepsi pelajar dalam matematik yang dipelajari. Salah satu daripadanya ialah pelajar tidak faham dengan konsep secara mendalam dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Pelajar yang lambat dan tidak dapat menerima atau memahami konsep yang disampaikan oleh guru dengan tepat akan menghadapi masalah miskonsepsi dalam konsep matematik. Seterusnya, guru yang tidak menguasai atau tidak faham konsep matematik dengan sepenuhnya juga menyebabkan berlakunya miskonsepsi pelajar dalam pembelajaran matematik. Tambahan pula, teknik atau cara yang guru mengajar yang tidak sesuai dengan konsep yang diajar juga merupakan faktor pelajar menghadapi masalah miskonsepsi dalam pembelajaran. Sebagai contoh, guru menggunakan strategi pengajaran berpusatkan guru, iaitu “chalk dan talk” sahaja, tanpa menjalankan “hands on activity” akan menyebabkan pelajar mudah melupakan konsep dan mereka akan menggunakan teknik hafalan tanpa memahami konsep sebenarnya.

         Antara pendekatan yang boleh digunakan oleh guru untuk menangani masalah miskonsepsi dalam matematik ialah guru perlu menekankan pemahaman konsep dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Selain itu, guru perlulah memberi penerangan dengan lebih jelas dan memberikan lebih contoh mengikut tahap kemampuan pelajar dan pastikan setiap murid menguasai konsep sepenuhnya sebelum mengajar kemahiran yang seterusnya. Guru juga boleh menggalakkan murid berkongsi idea dan berbincang supaya mereka lebih faham konsep yang dipelajari. Selain itu, guru boleh menggunakan bahan konkrit dan lebihkan “hands on activity” untuk membantu murid memahami konsep yang abstrak. Sebagai contoh, guru boleh menggunakan model 3 dimensi untuk mengajar topik “Bentuk 3 Dimensi”. Murid dikehendaki memanipulasi model-model untuk menyatakan ciri-ciri bentuk 3 dimensi yang dipegang.

Pada pendapat saya, kekeliruan berlaku dalam pengajaran dan pembelajaran matematik adalah disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya gaya komunikasi guru dalam gaya pengajarannya. Perkembangan bahasa dan perbendaharaan kata metematik merupakan faktor utama yang memberi kesan terhadap mutu keseluruhan hasil pembelajaran matematik menurut Austin dan Howson (1979). Perbendaharaan kata matematik boleh diperkembangkan melalui pelbagai cara. Salah satunya ialah melalui komunikasi. Contohnya, guru haruslah menerangkan perkataan teknikal yang terdapat dalam bidang algebra, geometri, set, penomboran dan istilah dalam matematik. Ini adalah kerana ia sangat penting sebagai bahan rujukan pelajar. Sekiranya guru tidak dapat menyampaikan sesuatu pengajaran dengan jelas, maka akan berlaku kekeliruan dalam kalangan pelajar bagi memahami sesuatu pengajaran matematik. Secara tidak langsung ini akan menyebabkan mereka kurang berminat terhadap matematik disebabkan oleh pendekatan gaya pengajaran guru. 


No comments:

Post a Comment