Sunday 6 December 2015

Konsep dan tujuan penilaian dalam Pendidikan Matematik

Penilaian merupakan satu proses untuk memperolehi maklumat kuantitatif. Ia adalah satu proses bagi guru untuk menentukan perubahan tingkah laku dan membuat pertimbangan menilai. Proses menilai dapat memberi maklumat tentang pencapaian objektif pelajaran, kaedah mengajar seorang guru dan keberkesanan sesebuah kurikulum. Menurut Terry D. TenBrink (1974),  menyatakan bahawa penilaian adalah suatu proses mendapatkan maklumat yang akan digunakan untuk membuat pertimbangan yang seterusnya digunakan dalam membuat keputusan.

Dengan demikian, penilaian merujuk proses mentafsir atau memberi nilai yang bercorak kualitatif tentang sesuatu kemahiran bahasa berdasarkan jumlah markah pencapaian hasil daripada pengukuran yang telah dilakukan secara kuantitatif. Contohnya, Nazrin yang mendapat markah sebanyak 90% dalam sesuatu kemahiran bahasa mungkin dinilai sebagai mencapai tahap cemerlang dan Fiqah pula yang mendapat jumlah markah sebanyak 10% mungkin dinilai sebagai berada pada tahap yang sangat lemah. Jadi, perkataan cemerlang, baik,sederhana, lemah atau sangat lemah yang digunakan dalam konteks ini adalah sebenarnya istilah penilaian yang diberikan secara kualitatif yang berasaskan pengukuran dan markat yang diperoleh dalam bentuk kuantitatif.

Tujuan penilaian adalah untuk mengetahui sejauh mana konsep-konsep yang disampaikan itu difahami oleh pelajar. Setelah diumumkan gred atau markah yangdiperoleh, tahap pencapaian pelajar dalam satu-satu bidang pelajaran akan diketahui. Selain guru, ibu bapa juga akan tahu aras pencapaian anak-anak mereka dalam mata pelajaran yang berkenaan. Ujian juga digunakan untuk menilai pembelajaran pelajar. Setelah satu-satu unit pelajaran selesai diajar, guru boleh menjalankan satu ujian ringkas untuk menilai sama ada objektif pelajaran tercapai atau tidak. Sekiranya tercapai, maka pembelajaran boleh dikatakan telah berlaku.

Dalam konteks dunia pendidikan, proses penilaian membabitkan banyak perkara kerana ia merangkumi di dalamnya proses ”ujian”, peperiksaan, pengukuran yang bertujuan untuk melihat kemampuan pelajar menguasai apa yang telah dipelajari di dalam kelas. Phopham (1975) menafsirkan penilaian yang sistematik mestilah mengandungi satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan. Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran dan matlamat ke arah usaha pengajaran itu ditentukan.

Penilaian boleh dijalankan secara formatif dan sumatif. Penilaian formatif dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Maklumat yang diperoleh daripada penilaian formatif dapat memberi maklum balas tentang sejauh mana sesuatu hasil pembelajaran telah dikuasai. Maka guru dapat mengetahui tentang kelemahan dan kekuatan serta potensi seseorang murid dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya. Guru juga boleh menilai kemajuan murid dalam pelbagai aspek termasuk aspek-aspek yang tidak dapat dinilai secara berpusat.

Manakala, penilaian sumatif dikaitkan dengan penilaian pada akhir tahun atau pada akhir semester. Penilaian ini memberikan nilai yang membezakan pencapaian seorang murid dengan murid lain dan seringkali digunakan untuk membuat pemilihan. Penilaian secara berpusat iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM biasanya dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Keputusan penilaian secara berpusat dapat memberi maklumat tentang pencapaian murid di seluruh negara.



Oleh yang demikian, guru memainkan peranan penting dalam mengesan kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, merancang dan membina instrumen penilaian, menganalisis maklumat penilaian, melapor dan membuat tindakan susulan. Melalui aktiviti penilaian, guru dapat memastikan perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

No comments:

Post a Comment